Pages

28 Oct 2011

EGOku.

Selagi bernama manusia sesuatu yang bernama EGO mengalir seperti sel-sel darah ke seluruh jasad. Baik lelaki mahupun wanita memang kita ini sentiasa berlingkar dengan ego sendiri. Tidak mungkin dapat lepas. Cuma tahap ketinggian atau kerendahan graf ego seseorang itu yang berbeza. Sudah pasti ia berkait juga dengan taraf sosial individu tersebut.

Sebagai manusia yang punya macam-macam kelemahan menyebabkan ego sentiasa ditempatkan di posisi yang salah. Macam membuat kek coklat tapi dicampurkan dengan sayur labu. Lalu jadinya berantakan.

Aku meletakkan ego lelaki dan wanita pada graf yang sepatutnya tinggi bila keadaan yang begini;

1- bila anak-anaknya kerap meminta makan di rumah jiran.
2- bila melihat anak-anaknya kekurangan daripada anak orang lain
3- bila perbelanjaan keluarga ditanggung isteri
4- bila keluar sentiasa dibiayai teman wanitanya
5- bila ditengking isteri/kekasih/suami di khalayak ramai
6- bila isteri berhias lebih cantik di luar dari di rumah
7- bila semua keputusan keluarga isteri yang terpaksa buat
8- Bila teman lelakinya berani merenung / menyentuh tubuhnya (tidakkah ego   anda tercabar bila lelaki yang bukan suami memikirkan anda sebagai objek seks?)

Senarai daif ini cuma kulihat dari pengamatan disekeliling ruang lingkup yang aku ketahui. Langsung tidak prejudis terhadap mana-mana pihak. Sebab bagiku jika kita meninggikan ego ke atas perkara-perkara di atas mungkin dapat memperbaiki serba sedikit masyarakat kita yang sudah berserpihan di sana sini.

JIka EGO diletakkan di posisi selayaknya mungkin seorang bapa akan berusaha kuat untuk meningkatkan taraf hidup keluarga. Adanya EGO seorang suami lebih bertanggungjawab terhadap keluarganya. Adanya EGO, lelaki akan berusaha menjaga maruahnya sebagai lelaki di mata wanita dan kalau punya EGO wanita berusaha menjaga maruahnya dari diinjak para lelaki hidung belang. 

Tapi sebagai manusia termasuk aku ini seringkali  meletakkan ego kepada sesuatu yang negatif. Misalnya;

'susah hendak minta maaf bila bersalah',
'sukar hendak mengaku kalau cara kita pincang',
'tidak mahu berganjak dengan keputusan yang sudah terangan tidak benar,'
'tidak mahu mengalah lansung dengan orang bawahan/isteri/suami walaupun sebenarnya kita yang bersalah,'
'enggan mendengar teguran dari orang lain yang merupakan anak atau isteri, adik, abang atau kakak sendiri.'

dan macam-macam lagi.

Kalau EGO disalurkan ke arah jalan yang positif ianya boleh menjadi perisai maruah diri.

p/s: peringatan untuk diri sendiri.

No comments: