Pages

28 Jan 2013

Bila mood hilang...

Banyak sangat benda yang hendak di kejar dalam satu masa. Nak buat satu-satu tapi bosan mengadap rutin yang itu-itu sahaja saban hari.

Lalu apa yang wajar aku lakukan untuk membuat hari kerja jadi menarik?

Hilang motivasi, penat, benci dengan apa yang buat, tension dengan orang, semua itu menjatuhkan mood kerja. Adoi...

Apa yang patut aku buat....rasanya aku kena jadi kreatif. MAKNAnya aku kena bayangkan sesuatu kerja itu sesuatu yang menarik dan menyusunnya dengan kemas apa yang paling utama dibuat terlebih dahulu!

Paling tidak aku kena tarik nafas...dan pujuk diri..'SYUKUR KAU MASIH ADA KERJA' kan? kan?

Berjerumbai.

Berjerumbai. Tak tahu mengapa perkataan ini banyak kali menerpa fikiran aku selepas membaca beberapa helai dari novel Eclipse. Apa yang berjerumbai pun aku tidak tahu.

Mungkin sehelai jaket yang mempunyai benda berjerumbai di kedua-dua lengannya atau aku memikirkan angan-angan ingin menulis sebuah fiksi yang amat fiksi. Tidak pasti.

Apa yang aku yakin keinginan aku ini hanya bertahan untuk beberapa jam sahaja. Bangun pagi esok aku yakin aku akan terfikirkan kerja aku yang membosankan di depan komputer!

Wow benar-benar rasa ingin lari ke Kutub selatan.

10 Apr 2012

pekerja vs majikan

Penghargaan. Semua orang ingin diiktiraf dan dihargai. Lebih-lebih lagi jika kita seorang pekerja. Tapi bila kita bertukar status dari seorang pekerja kepada majikan, selalu sangat ya rasa ego, sombong dan riak itu beraja.

"aku yang bayar kau, so dengar cakap aku okay???"

Memang benar pekerja telah digajikan untuk melakukan kerja. Tapi tak semestinya sebab dia telah digajikan, kita boleh tengking, maki hamun, moody dan menunjukkan muka masam sesuka hati padahal kesilapan pekerja itu cumalah tidak menyedari si majikan hendak lalu di laluan yang sama.

Mesti selalu ingat perkerja berkerja untuk dapatkan rezeki bukan kerja nak jaga hati bos memanjang...lebih-lebih lagi kalau jenis bos yang tak masuk akal dan marah tak bertempat. Jenis yang marah orang lain, tapi lepaskan pada orang lain. Ingatlah roda tu berpusing...bila-bila masa kita pula berada di bawah..

Tapi bila dapat majikan baik dan bertimbang rasa pula, ada saja pekerja yang nak naik 'tocang'. Selalu nak ambil kesempatan. Pantang lembut sikit mulalah nak curi tulang. Masuk office lambat, buat kerja ala kadar dan songlap duit tu perkara biasa saja. Tahu tak kalau majikan suruh kita jaga duit, maknanya dia sangat percayakan kita. Bukan dia buka peluang kita nak menyonglap! Bukan juga sebab dia bodoh. Jadi hargailah kepercayaan itu. Sebab itulah maruah kita sebagai pekerja.

Hutang tetap hutang sampai ia dihalalkan.

Hutang. Benda yang cukup biasa. Perkara yang dah jadi nadi dalam masyarakat dunia. Kalau tak berhutang manakan dapat miliki rumah, kereta ataupun melanjutkan pelajaran.

Tapi pelik ya kita ini. Bila berhutang kita tak mahu bayar.

Rasa berat saja nak hulur duit buat bayar hutang. Rasa sayang sangat. Rasa duit kita rugi pulak membayar hutang. Baik buat beli baju ke, kasut ke, tukar kereta ke...

Kawan, hutang tu walau dua puluh sen pun nilainya, ia tetap hutang. Tak kiralah dengan siapa kita berhutang. PTPTN ke, MARA ke, kawan ke, waima adik beradik sekalipun...! Kalau dah namanya meminjam ia mesti dipulangkan balik. Kecualilah si pemberi hutang cakap dia halalkan semuanya.

Kadang-kadang kawan dulukan bayar duit minum pun kita mesti bayar balik. Kecuali dia cakap dia belanja. Tahukah anda ramai orang atau kawan yang memberi hutang selalu senyap saja dan malu nak tuntut hutang mereka. Alasannya takut kawan tempelak;


"hek elehh...baru pinjam dua puluh ringgit, kecoh satu kampung.."

Kenapa kita mesti malu menuntut hutang kita, sedangkan kita perlukan duit tersebut? Sebab sebagai kawan atau saudara kita tak mahu dicop jenis 'berkira'. Tapi hati kita tak rela. Bila hati tak rela hutang itu akan dituntut ke atas kawan tersebut di akhirat kelak. Sebab kita tak halalkan.

Si peminjam pula bila kawan tu senyap, dia pun anggap si kawan dah tak kisah. Ini bukan kes nilai duit besar atau kecil tapi kes sama ada hutang itu sudah dihalalkan atau tidak. Memang ada kawan yang tak kisah menghulurkan duit dalam jumlah yang besar pada teman-teman. Malah dia cukup suka membahagikan rezekinya dengan orang lain.

Tapi bukan semua orang yang senang dapat duit. Ada yang cukup-cukup makan tapi sanggup tolong kawan bila susah. Jadi sanggup ke kita buat-buat lupa hutang itu?

Jadi kepada yang suka berhutang biarpun seringgit sekalipun, bayarlah. Dah cukup syukur bila ada kawan membantu kita ketika susah. Tak perlulah melenting bila dia tuntut balik duitnya sebab itu memang hak dia. Mungkin dia memerlukan duit tersebut. Di sini tak ada istilah 'berkira'sebab dari mula si kawan telah pun menghulurkan pertolongan!
 
Jangan ambil kesempatan atas kebaikkan orang. Sebab lain kali, bila ditimpa susah lagi  semua orang dah tak percaya. Tapi kalau kita jenis yang berperinsip dan jujur, InsyaAllah kawan yang paling kedekut pun sanggup menolong bila kita memerlukan pertolongan!

14 Mar 2012

kutub utara, kutub selatan.

Kita memang mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Setiap orang pun mempunyai citarasa yang tak sama walaupun ada satu dua perkara kita akan menyetujuinya bersama. Namun terdapat sesetengah orang tidak mampu menerima perbezaan ini.

Pernah tak anda berdebat dengan seseorang sampai membawa ke tahap bertengkar?

Masing-masing tak mahu kalah. Jadi untuk menangani orang yang suka nak menang bila bercakap ni, senang saja... anda berhenti bercakap dan beritahunya dengan tenang bersama air muka yang tidak kisah;

"Ok. Aku bagi kau menanglah."

Kalau dia masih berbunyi lagi, tinggalkan saja biar dia pot pet pot pet dengan dinding. Hahaha..percayalah cara macam ini memang buat dia lagi sakit hati tapi dalam masa yang sama dia terpaksa akur dengan sikap selamba kita. Tak guna berdebat bila orang yang anda berlawan lidah itu tak mahu diam walaupun terang-terangan dia salah. Sebab ketika itu dia sedang berusaha menjaga egonya agar tidak jatuh.

Tapi kalau anda yang salah silalah mengaku...kalau kita mengaku kita silap sebenarnya persahabatan akan menjadi lebih baik. Lagipun kita nampak profesional. Kan? (^__^)v

22 Feb 2012

Fitnah di hujung jari.

Kita terlalu biasa menilai dan menjatuhkan hukuman berdasarkan cerita-cerita yang tersebar. Lebih-lebih lagi bila ceritanya melibatkan orang-orang terkenal atau dikenali ramai.

Jika mereka melakukan diluar batas norma masyarakat atau menayangkan gambar-gambar seksi di blog sendiri dengan pantasnya kita 'mencuri' gambar tersebut dengan alasan perbuatan itu perlu diketahui masyarakat dan perlu dikutuk.

Ironis sungguh kita ini ya.

Benarkah kita benar-benar menebarkan aib itu untuk pengajaran orang lain?
Atau sengaja ikut-ikutan kerana itulah berita sensasi masa kini, ataupun hanya kerana duit? ataupun seronok melihat komen-komen pembaca yang banyak?

Sebenarnya istilah 'mengumpat' bukan hanya di mulut tapi di jari kita juga. Begitu juga fitnah. Mungkin kerana di zaman kita ini bergosip tentang artis, orang politik atau orang-orang terkenal adalah sesuatu yang biasa dan lumrah tetapi ia tetap masuk dalam hal umpatan. Sebab yang diperkatakan itu adalah MANUSIA.

Jika mereka benar-benar berbuat salah dan kita ikhlas mahu menegur, lebih baik kita menegur terus dilaman sosial siempunya diri. Tak perlu copy paste keaiban mereka.

Ada juga mengatakan kita perlu sebarkan kejahatan sipolan ini biar masyarakat ambil iktibar. Biar orang tidak ikut contoh tidak baiknya. Tapi masalahnya adakah kita benar-benar pasti sumber kita? Seperti yang kita maklum, berita yang tersebar di internet ini boleh diragui kebenarannya. Penyebaran cerita perlu SAHIH dan BUKTI yang nyata lebih-lebih lagi bila kes tersebut melibatkan maruah seseorang.

Bila kita sudah mengutuk perbuatan si polan sepuas-puas hati (seolah-olah diri kita terlalu sempurna) lalu apa terjadi kepada si polan itu? Jika berlaku kes bunuh diri tidakkah kita merasa turut bertanggungjawab?

Padahal jika kita benar-benar perihatin, kita perlu berusaha bersama-sama mendapatkannya untuk menariknya dari dunia gelap tersebut. Tapi apa yang berlaku, kita bersama-sama pula menyebarkan aibnya tanpa memikirkan kesan tindakkan itu yang lansung tidak memberi apa-apa manfaat selain memburukkan lagi situasi si polan.

Lebih baik sesuatu isu itu kita kupas secara beradap dan serius tanpa menghentam mana-mana pihak dan dalam masa yang sama masyarakat boleh menangkap ada perkara tak baik sedang berlaku dalam masyarakat kita. Sebab di zaman akhir ini semua jenis maksiat, penipuan dan segala jenis kekejaman amat berleluasa. Semoga kita terkeluar dari golongan orang-orang yang buta hatinya. Amin.
(GAMBAR: GOOGLE)

28 Oct 2011

EGOku.

Selagi bernama manusia sesuatu yang bernama EGO mengalir seperti sel-sel darah ke seluruh jasad. Baik lelaki mahupun wanita memang kita ini sentiasa berlingkar dengan ego sendiri. Tidak mungkin dapat lepas. Cuma tahap ketinggian atau kerendahan graf ego seseorang itu yang berbeza. Sudah pasti ia berkait juga dengan taraf sosial individu tersebut.

Sebagai manusia yang punya macam-macam kelemahan menyebabkan ego sentiasa ditempatkan di posisi yang salah. Macam membuat kek coklat tapi dicampurkan dengan sayur labu. Lalu jadinya berantakan.

Aku meletakkan ego lelaki dan wanita pada graf yang sepatutnya tinggi bila keadaan yang begini;

1- bila anak-anaknya kerap meminta makan di rumah jiran.
2- bila melihat anak-anaknya kekurangan daripada anak orang lain
3- bila perbelanjaan keluarga ditanggung isteri
4- bila keluar sentiasa dibiayai teman wanitanya
5- bila ditengking isteri/kekasih/suami di khalayak ramai
6- bila isteri berhias lebih cantik di luar dari di rumah
7- bila semua keputusan keluarga isteri yang terpaksa buat
8- Bila teman lelakinya berani merenung / menyentuh tubuhnya (tidakkah ego   anda tercabar bila lelaki yang bukan suami memikirkan anda sebagai objek seks?)

Senarai daif ini cuma kulihat dari pengamatan disekeliling ruang lingkup yang aku ketahui. Langsung tidak prejudis terhadap mana-mana pihak. Sebab bagiku jika kita meninggikan ego ke atas perkara-perkara di atas mungkin dapat memperbaiki serba sedikit masyarakat kita yang sudah berserpihan di sana sini.

JIka EGO diletakkan di posisi selayaknya mungkin seorang bapa akan berusaha kuat untuk meningkatkan taraf hidup keluarga. Adanya EGO seorang suami lebih bertanggungjawab terhadap keluarganya. Adanya EGO, lelaki akan berusaha menjaga maruahnya sebagai lelaki di mata wanita dan kalau punya EGO wanita berusaha menjaga maruahnya dari diinjak para lelaki hidung belang. 

Tapi sebagai manusia termasuk aku ini seringkali  meletakkan ego kepada sesuatu yang negatif. Misalnya;

'susah hendak minta maaf bila bersalah',
'sukar hendak mengaku kalau cara kita pincang',
'tidak mahu berganjak dengan keputusan yang sudah terangan tidak benar,'
'tidak mahu mengalah lansung dengan orang bawahan/isteri/suami walaupun sebenarnya kita yang bersalah,'
'enggan mendengar teguran dari orang lain yang merupakan anak atau isteri, adik, abang atau kakak sendiri.'

dan macam-macam lagi.

Kalau EGO disalurkan ke arah jalan yang positif ianya boleh menjadi perisai maruah diri.

p/s: peringatan untuk diri sendiri.

23 Oct 2011

tak ingin ke neraka.

Takut. TAKUT.

Kadang kala romaku merinding ngeri memikirkan selusin jenayah, perang, perebutan kuasa yang berleluasa bukan saja di negara ini malah seluruh dunia.
Ini kah dia tanda-tanda hari pembalasan semakin hampir?

Kalau ya apa kebaikkan yang aku pernah perbuat?

Zamanku adalah zaman akhir sebelum titik kehancuran. Datangnya hari itu aku sudah tak punya waktu untuk menyesal.

Tetapi mengapa liat sekali kakiku melangkah menuju ke jalan tuhan?
Sampai bila aku ingin bertangguh sedang hati meronta-ronta ingin perubahan?
Mati bila-bila masa.

Tiba-tiba saja aku berasa kecut, kecil dan takut.

"ya Allah, aku tak mahu ke neraka tetapi aku juga tak layak ke syurgamu.."

22 Oct 2011

depan mata dialah teman sejati, bila menjauh sms pun tak peduli lagi!

Ada sejenis KAWAN boleh berubah seperti air dalam gelungan. Bila di depan mata dia sangat mesra dan baiknya bukan main. Sampai kita menganggap dialah sahabat sejati tiada tolok gantinya.
Anehnya bila sudah tinggal berjauhan dirinya tak dapat dikenal lagi.

Bukan perkara pelik bila ketika itu kita saja yang akan menelefon bertanya khabar.
Bukan perkara ajaib juga jika SMS yang dikirim, si kawan tak membalas. Alasan 'tiada kredit'.
Tiada kredit untuk bertanya khabar walaupun sebulan sekali. Bukankah berhubung itu penting dalam persahabatan? Tidak perlu sampai berborak lama berjam-jam, tapi cukup hanya sebaris ayat SMS;
'apa khabar?'

Ini bukan cerita tentang kawan yang 'baik-baik gitu aja', tapi kawan yang dianggap rapat. Bila sudah tidak berkerja atau belajar di tempat yang sama haruskah kita terus melupakan ikatan yang pernah dibina?

Mahu dikatakan ada rasa marah atau dendam, rasanya tidak. Sebab  orang yang marah bila dihubungi pastilah dingin tapi sebaliknya dia berborak tak ingat jam. Maklumlah kita yang menelefon. Kredit kita bukan kredit dia. Tetapi keadaan berubah bila dia mulai ditimpa susah. Tiba-tiba sahaja kita akan menjadi sahabat terpenting baginya. Tiba-tiba kredit handphonenya sentiasa ada untuk dia luahkan masalahnya kepada kita.

Kawan seperti ini memang lama-lama boleh menimbulkan perasaan kosong di hati dan kita mulai tertanya-tanya sama ada harus dilayan lagi atau tidak. Sebab semasa kita pula yang susah, dia tak ambil peduli hidup mati kita. Bertanya jauh sekali.

Bukan mudah untuk melupakan seorang sahabat. Lebih-lebih lagi bila kita pernah melalui masa-masa gembira bersama. Tapi bila diingat-ingatkan kenangan lepas, memang perangainya sudah begitu. Dia pernah membuat penyataan;

'kita perlu berbaik  kepada orang yang akan berguna pada kita'.

Ketika ayat ini diucapkan kita lupa 'orang' yang dimaksudkan termasuklah diri kita sendiri. Sebenarnya kita telah tersenarai dalam  list keramat dia awal - awal lagi;


kawan yang berguna atau kawan yang tidak berguna pada dirinya.


Aduh..jika begitu orang seperti ini wajar diturunkan pangkatnya. Daripada pangkat kawan baik kepada kawan biasa-biasa saja.

Tak perlu putus kawan. Tak baik. Cuma jangan terlalu rapat.
Bagiku apa gunanya 'kawan sejati' jika hanya muncul ketika senang. Di saat kita terkuras lintang pukang mengadap nasib dia sudah lenyap tanpa bekas.

p/s: peringatan untuk diri sendiri juga supaya aku turut mencermin diri. Sebab sebagai manusia kita ini kadang kala melihat dan merungut tentang kesilapan orang lain tanpa menyedari KAWAN jenis apakah diri sendiri.

lelaki atau wanita masak lebih power?


Rindu dengan masakkan ayah. Sebab ayah masak lebih sedap daripada emak. Kalau masak asam pedas atau kari..

(woooo..kaw-kaw...)

Bukankah chef-chef handal di dunia ini terdiri daripada kaum adam? pelikkan?
Tapi pada pendapatku wanita tidak menonjol dalam bidang masakan mungkin kerana kebanyakkan wanita menganggap memasak itu kewajipan isteri atau ia perkara yang biasa sahaja. Lagi-lagi yang sudah terbiasa masuk ke dapur sejak di usia muda.

Sedangkan lelaki yang terlibat dalam bidang ini menganggapnya satu kerjaya yang serius.

Jadi mereka yang menjadi chef mesti kreatif. Jika tidak, mereka tidak akan berjaya dalam bidang ini. Maklumlah sekarang persaingannya semakin banyak dan sengit.

Orang perempuan pula bila dah emaknya ajar masukkan bahan A, bahan A  sajalah dia guna. Sampai mati pun dia takkan ubah. Sebab rasa tu dah sedap pun.

Tapi bagi lelaki mereka akan cuba cari alternatif dari bahan A ke bahan B atau bahan C dan sebagainya...untuk cari rasa yang lebih bagus bukan hanya sekadar sedap.
Pendek kata mereka buat ekperimen dengan makanan tersebut. Mereka tidak takut kalau makanan yang mereka cipta  tidak menjadi berkali-kali. Sebab akhirnya nanti mereka akan berjaya mendapat rasa yang lebih unik dan hebat. Bagi sesetengah wanita pula, ia satu pembaziran jika makanan yang sudah pun sedap di buang semata-mata mahukan rasa yang berlainan.

Tapi tidak semualah wanita itu tak kreatif dalam masakkan, ada juga yang sangat kreatif dan hebat dalam bidangnya. Cuma yang kreatif itu tidak ramai.

Lelaki juga sama. Sebab ada juga yang terlibat dalam dunia masakkan tapi hanya menjadi tukang masak yang biasa-biasa saja. Cuma yang kreatif tu pihak lelaki lebih ramai.

Hehehe...

Macam aku ini..hahaha lagilah tak pandai masak. Makan aku sukalah. (^___^)v

p/s: membebel aje...
GAMBAR; CARI KAT GOOGLE

11 Jul 2011

yang lepas biarkan lepas


Mmmmm....
bila semua benda mulai kucar kacir. Kepala pun berserabut. 
Tetapi mengapa ya? 
Bukankah salah sendiri bila kisah lama disingkap kembali? 
Semua itu sewajarnya disimpan dalam peti memori. 
Dikunci rapat-rapat dan kuncinya dibuang terus ke sungai hati. 
Perkara yang lepas biarlah lepas. 
Kalau tidak kita terikat dengan masa silam sampai terlupa benda yang perlu dikerjakan di depan mata. 
Sesekali bolehlah menoleh ke belakang sekadar buat peringatan,
supaya hal yang terburuk di masa lepas tidak terulang lagi.
GAMBAR: GOOGLE